بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم
Malam ini hati saya tersentuh. Bukan sahaja dengan kejayaan LCW ke final Olympic Rio, tetapi juga dengan suatu kisah rumahtangga.
Alhamdulillah saya bersyukur dengan kehidupan yang Allah berikan kepada saya. Walaupun tidak mewah, tapi saya syukur dengan apa yang saya ada. Kehidupan saya tidak sempurna, tapi Alhamdulillah saya bahagia dengan setiap yang ditakdirkan.
Saya faham, saya hanya boleh bercakap melalui apa yang telah ditakdirkan kepada saya. Ini bahagian saya, ini rezeki saya. Bahagian dan rezeki anda mungkin tidak saya dengan saya, atau mungkin lebih baik lagi. Pendapat saya adalah berdasarkan bahagian dan rezeki saya. Tiada yang salah jika pendapat kita berbeza.
Saya ingin kongsikan pendapat saya tentang jodoh. Saya sudah berkahwin selama 3 tahun 8 bulan dengan pilihan saya. Maaf.. saya sebenarnya sudah berkahwin dengan jodoh yang ditakdirkan untuk saya. Suami saya ialah jodoh saya. Jodoh; baik dan buruknya dia, dia adalah jodoh saya. Tiada manusia yang sempurna. Walaupun perkahwinan kami baru..ya, baru 3 tahun, tetapi seperti pasangan lain kami juga diberikan pelbagai ujian.
Ujian dan cabaran yang kami lalui tidak dapat saya kongsikan di sini. Tetapi apa yang ingin saya tegaskan, walaupun peritnya ujian dan cabaran yang saya lalui bersama suami, tidak menjadikan alasan untuk saya back off. Sebab, saya pegang ikatan ini walau bagaimana pun keadaannya. Sebab, saya hanya percaya bahawa inilah takdir hidup saya. Sebab, saya pegang bahawa dia lah jodoh saya. Kerana saya faham bahawa saya bukan berkahwin dengan kebahagiaan semata-mata, tetapi saya berkahwin dengan jodoh saya yang mana dia tidak sempurna.
Segala kelemahan dan kekurangan suami saya, saya harus terima dan berdoa semoga Allah kurniakan segala kebaikan dunia dan akhirat kepadanya. Suami saya ialah kunci syurga saya, perkahwinan ini adalah lubuk pahala saya. Atas penerimaan saya dan tentulah dengan izin daripada Allah, dengan bagaimana saya ingin mencorakkan perkahwinan ini. Jika saya ingin memandang kelemahan suami sebagai penghalang kebahagiaan saya, maka bersedihlah saya sepanjang masa. Namun jika saya memandang kelemahan dia sebagai penghibur, maka bergembiralah saya.
Saya ingin berpesan kepada kenalan saya dan diri saya sendiri, pertahankanlah rumahtangga dengan merasai kebahagian atas apa yang kita miliki. Jangan melihat kepada apa yang kita tidak miliki dan merasakan kekurangan yang menyebabkan kita tidak bahagia. Doa adalah kunci kejayaan. Selalulah berdoa supaya Allah kurniakan kebaikan dunia dan akhirat kepada kita. Sayangilah dan terimalah jodoh kita seadanya dia.
It such a heart breaking, bila mana suatu perkahwinan musnah disebabkan kekurangan masing-masing. Isteri tidak dapat terima buruk suami. Suami tidak dapat terima buruk isteri. Ada pihak ketiga pula yang ambil kesempatan. Apa yang boleh saya katakan, bersabarlah. Sabar dengan kekurangan masing-masing. Janganlah cepat putus asa dan membiarkan hubungan itu reput dengan sendirinya. Dengan kata lain, takkan lah sebab dia macam tu, ko nak buang dia dari hidup ko. Dia jodoh ko kot!
0 comment(s):
Post a Comment
Your comment will go for approval before published. SPAM is not allowed!!