Kami Rindu Embah Yah

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليكم

Tahun ni mungkin boleh dikatakan tahun yang menguji keimanan dan kesabaran kami di mana kami diuji dengan peristiwa sedih. Namun begitu kami redha.

Pada 14 Syawal 1437 bersamaan 19 Julai 2016 yang lepas telah pergi nenda kesayangan kami; Marsiah binti Sukinem akibat kanser usus. Selepas hampir 2 tahun diagnosed kanser usus dan telah menjalani pembedahan, akhirnya Embah Yah pergi jua. Kami redha dan kami relakan kerana mengenangkan kesakitan yang lama beliau tanggung, pemergiannya ini mungkin adalah yang terbaik.

Sehari sebelum Embah Yah meninggal dunia, aku terima panggilan telefon daripada Mak mengatakan Embah Yah minta dibawa ke hospital kerana sakitnya sudah tidak tertanggung, sedangkan selama beberapa hari sebelum itu beliau enggan apabila diajak ke hospital. Malamnya, aku hubungi abang sulung untuk mengikuti perkembangan Embah Yah. Abang Apis memaklumkan kondisi Embah semakin tenat dan meminta aku bersama-sama mendoakan semoga Allah berikan kesudahan yang baik buat Embah Yah.

Aku ketika itu berserah pada Allah kerana aku tidak mampu berbuat apa-apa. Aku hanya mendoakan semoga urusan dunia dan akhirat Embah Yah dipermudahkan oleh-Nya. Ingin saja aku balik kampung ketika itu untuk menziarah Embah Yah, tapi aku tak terdaya. Suami aku ketika itu sedang bekerja, jadi aku terpaksa tunggu keesokan pagi untuk bertolak balik.

Pagi itu, hampir setiap masa aku hubungi abang-abang aku untuk mengikuti perkembangan Embah Yah. Sedang aku dalam perjalanan pulang, abang aku memaklumkan Embah Yah dah tak ada.......

"Yang pergi dah tentu pergi, adik. Adik hati-hati dalam perjalanan"

Sepanjang perjalanan suami aku cuba menenangkan perasaan aku dan menceriakan aku. Aku sedih, tapi aku masih dapat tahan air mataku. Perjalanan kami mengambil masa lebih 5 jam dari Kulim ke Sagil. Aku berharap aku berpeluang menatap wajah Embah Yah buat kali terakhir. Namun kurang sejam sebelum aku sampai, Embah Yah sudah selamat disemadikan. Ya, memang aku sedih tak dapat tengok Embah Yah, aku agak terkilan. Tapi apabila aku dikhabarkan urusan Embah Yah dipermudahkan, aku sangat bersyukur dan redha.

Sepanjang aku di kampung, aku rasa sangat sedih namun aku masih tahan air mata aku. Aku sedih tengok Embah Sudir kesedihan ditinggalkan isteri yang tercinta. Aku lihat sendiri matanya bengkak apabila itu adalah malam pertama dia tidur tanpa isterinya. Embah Sudir sangat sayangkan Embah Yah. Aku pernah menyaksikan Embah Sudir mencempung Embah Yah ketika membetulkan pembaringannya semasa dia terlantar di katil. Begitu kasihnya kepada isteri tercinta. Kini Embah Sudir sendiri meniti hari tuanya.

Selepas hampir dua hari aku di sana, malam itu kami minta diri untuk terus pulang ke Kulim. Aku telah berjanji pada bos untuk bekerja keesokan hari. Air mata yang aku tahan sepanjang aku di kampung aku lepaskan dalam perjalanan. Suami aku seakan memahami, dia membiarkan aku teresak-esak di sebelahnya yang sedang memandu.

InsyaAllah aku tak lupa hadiahkan Al-Fatihah dan Yaasin supaya roh Embah Yah dicucuri rahmat, dan semoga kuburnya diterangi dilapangkan. Aamiin Ya Rabb.

0 comment(s):

Post a Comment

Your comment will go for approval before published. SPAM is not allowed!!


up