My Child Existed - #Ectopic5

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليكم

Ada hikmah mengapa aku tak tahu yang aku hamil. Memang jika dikenang-kenangkan hati rasa terhiris. Tapi kalau aku tahu aku hamil, pasti aku lebih terluka. Sesungguhnya percaturan dan perancangan Allah itu lebih sempurna dan terbaik untuk aku.

Alhamdulillah, sekarang aku lebih tenang walaupun kadang-kadang emosi terusik juga. Fokus utama sekarang ialah giatkan usaha..cewah! Subhanallah, ujian ini sebenarnya ada hikmah yang tersirat. Ini bermakna kami berdua tiada masalah untuk mempunyai zuriat keturunan, hanya menunggu masa diizinkan Allah.

Kurang 4 hari lagi genap sebulan aku dibedah, tinggal 2 minggu je lagi nak habis pantang. Bermula Selasa lepas aku dah ke office menyambung tugas. Alhamdulillah, luka luaran akibat operation dah 90% sembuh. Luka dalaman pasti ambil masa lama sikit, jadi semua pesan supaya jaga makan dan jangan angkat yang berat-berat.

Aku target tahun depan kami akan dikurniakan zuriat keturunan. Sekarang ni anak-anak kami masih di alam roh. InsyaAllah sebelum berakhirnya tahun ni, mereka akan pindah ke alam rahim dan seterusnya lahir ke alam dunia. Aku doakan semoga Allah mengurniakan kami zuriat keturunan dari kalangan hamba-hambaNya yang soleh solehah. Aamiin





4 Days Admitted - #Ectopic4

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليكم

Bermula 25 April hingga 28 April aku dimasukkan ke Ward 10 Hospital Kulim. Hari pertama cepat berlalu disebabkan aku menjalani pembedahan. Masa berlalu tanpa aku sedar kerana aku masih di bawah pengaruh gas tidur dan bius. Bermula daripada saat aku dimasukkan ke ward, aku sudah dikenakan water dripping. Mak aih..punyalah sakit jarum tu masuk ke tangan kiriku. Rasa sakit sampai ke tulang. 

Pagi 26 April semasa doktor ingin on antibiotic ke dalam badan aku, Dr.Liyana mengenakan jarum di tangan kananku pula kerana jarum di tangan kiri yang sepatutnya membekalkan air melalui salur darah telah bocor ke bahagian tisu. Sebab tu lah aku perasan tangan kiriku agak bengkak. Dengan terpaksa, aku relakan sahaja Dr.Liyana mengenakan jarum di tangan kananku.
On antibiotic pada 26 dan 27 April

Sepanjang aku warded, aku diberi makan 4 kali sehari. Sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Dalam masa yang sama, pil PCM dan 2 jenis antibiotic diberikan setiap 12 jam. Doktor tak mahu aku demam. Kalau aku demam, bermaksud aku akan ditahan di ward lebih lama. Aku akan dibenarkan discharged bila darah dari perutku akibat pembedahan keluar sepenuhnya. Setiap hari doktor akan pantau blood drainage tu. Semakin hari semakin berkurangan isipadu darah yang keluar.
Sarapan pagi dengan air coklat dan roti kosong

Hari ke-2 aku di ward, kawan-kawan office datang menziarah pada sebelah tengah hari. Aku juga dikunjungi oleh seorang teman berpangkat adik yang sangat perihatin. Emak masih dalam perjalanan menaiki bas dan akan sampai sebelah malamnya. Suamiku pula setiap hari tak jemu mengunjungi aku di awal pagi dan setiap kali waktu melawat. Aku sangat bersyukur dipilih menjadi suri hidupnya. Dia melayan aku dengan sangat sabar.

Pada 27 April, aku sekali lagi on antibiotic. Jarum yang dimasukkan oleh Dr.Liyana agak kemas, jadi masih boleh digunakan pada hari seterusnya. Dr.Aninsa dan Dr.Shanti menyuruh aku berjalan dan bergerak-gerak supaya darah dari perut masuk ke drainage tu lancar dan aku boleh segera discharge.

Pada pagi 28 April, aku dilawati oleh Dr.Goh iaitu doktor pakar disitu. Menurut Dr.Goh, hari ini aku boleh discharge. Sudah tiada darah yang keluar kecuali air yang bercampur sedikit darah dari lubang di perut aku. Aku segera memaklumkan kepada suamiku untuk membawa aku pulang pada tengah hari itu.

Hampir setiap masa ramai yang mendoakan agar aku cepat sembuh dan memperoleh kebaikan di masa akan datang. Kawan-kawanku tak putus memberikan semangat kepadaku.

"Allah sayang Norin dan akan gantikan yang lebih baik untuk Norin" Aku rasa terharu dan berterima kasih. InsyaAllah, aamiin.

Dari Bahagian Kecemasan ke OT - #Ectopic3

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليكم

Dahulu semasa aku kecil, sekitar umur 7 hingga 10 tahun, aku sering ke Hospital Kuala Lumpur. Kisahnya bermula apabila aku keteguran semasa umur aku 6 tahun. Sejak itu aku sering jatuh pengsan secara tiba-tiba. Aku juga mempunyai masalah lelah. Jadi kesihatan aku dipantau sehingga umur aku 10 tahun.

Alhamdulillah aku membesar menjadi seorang yang jarang jatuh sakit. Aku dah tak pernah ke hospital dan aku tidak biasa dengan keadaan di hospital.

Selepas lebih 20 tahun, 25 April yang lepas adalah kali pertama aku ke hospital disebabkan kesihatan aku. Aku kekok namun cuba menyesuaikan diri dengan hanya mengikuti arahan petugas-petugas di sana.

Suamiku menghentikan kenderaan di hadapan bahagian kecemasan Hospital Kulim. Disebabkan di situ hanya boleh drop penumpang, suamiku terus ke kawasan meletak kenderaan manakala aku ke kaunter untuk pendaftaran.

Petugas hospital yang sarat hamil meminta kad pengenalan ku. dan bertanyakan tujuan aku ke bahagian kecemasan. "Saya sakit perut, Puan". Aku lihat dia menulis "Abd pain" lalu meminta aku ke ruang menunggu sementara dia mengisi butiran di kad rawatan.

Selepas menunggu hampir setengah jam untuk diperiksa oleh nurse, aku diarah masuk ke dalam ruang menunggu di bahagian seterusnya. Aku kemudian diperiksa oleh Dr.Fitri sambil dibimbing oleh Dr.Siva. Ditekan-tekannya perut aku untuk diperiksa. Aku ceritakan kesakitan aku. Perut aku diimbas, rahim aku kosong, bladder ok, tiada yang tidak normal. Setelah itu aku disuruh memberikan sample urine. Terkedek-kedek aku ke toilet sambil dipimpin suamiku tercinta.

Melalui ujian yang dilakukan kepada sample urine, Dr.Fitri mengatakan aku hamil. Aku bingung, aku terkejut. Doktor kata rahim aku kosong, tapi melalui ujian urine aku disahkan hamil. Aku tak tahu apa yang patut aku rasakan.

Selanjutnya aku dibawa ke Pakar 1 untuk pemeriksaan lanjutan. Aku sekali lagi disuruh memberikan sample urine dan diimbas rahimku melalui perut termasuklah melalui vagina. Sekali lagi Dr. Rosma pula mengatakan rahimku kosong. Dr. Aninsa dan Dr. Rosma menjangkakan aku hamil luar rahim. Aku dijelaskan bahawa kandungan ini membahayakan nyawa aku jika aku tidak dibedah. Pendarahan yang berterusan akan meragut nyawa aku. Ketika itu aku masih bingung, semua ini sangat tiba-tiba. Hanya beberapa minit yang lepas aku diberitahu aku hamil. Kini aku pula harus dibedah. Aku hanya bersetuju. Suamiku setia di sisi dan segera menelefon majikannya untuk memohon cuti menemaniku.

Aku lihat wajah suamiku, tenang namun terlihat perasaan bercampur-baur. Seketika kemudian, aku ditolak ke Ward 10 untuk direhatkan sementara menunggu masa dibedah. Beberapa kali aku ditanya bilakah kali terakhir aku makan dan minum. Doktor perlu memastikan sekurang-kurangnya 6 jam selepas kali terakhir aku makan, barulah aku boleh dibedah.

Semasa berehat, aku disuakan beberapa borang kebenaran pembedahan. Aku ditemani suamiku yang setia. Doktor bius datang dan mengatakan aku akan dibedah pada pukul 6.30pm. Ada lagi beberapa jam sebelum aku dibedah, suamiku pulang ke rumah sementara. Tetapi menjelang pukul 6pm sewaktu suamiku masih di rumah, aku telah ditolak ke OT untuk persediaan pembedahan.

Rasa hati nak minta doktor tangguhkan, tapi siapalah aku. Aku ikutkan sahaja.. Sepanjang masa sebelum aku dibius, istighfar tidak putus daripada bibirku. 


Aku Hamil Tanpa Sedar - #Ectopic2

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليك

Kali ini aku ingin mencatatkan kenangan-kenangan sebelum aku dibedah disebabkan kandungan luar rahim. Sejujurnya apabila aku mengenangkan perkara-perkara ini, hatiku terhiris. Namun aku ingin mencatatkan supaya menjadi ingatan manis buat aku kemudian hari.

Pada awal perkahwinan kami sehingga usia perkahwinan melewati tahun ke-2, aku dan suami tidak terlalu berharap untuk dikurniakan zuriat dengan segera. Kami hanya berserah kepada rezeki dari Allah tanpa berusaha bersungguh-sungguh, just follow the flow kata suamiku. Apabila usia perkahwinan mencecah tahun ke-3 dan umurku semakin meningkat dewasa, aku berharap kehadiran zuriat untuk menyerikan lagi perkahwinan kami.

Pada Januari tahun ini, aku mulai mendapatkan nasihat daripada doktor. Kali pertama aku berjumpa dengan Dr.Munirah, aku telah melewati hari ke-8 kitaran haid. Doktor kata "Sepatutnya adik mai hari pertama period atau selewat-lewatnya hari ke-2 untuk Doktor bagi pil subur. Tapi takpa, hari ni Doktor bagi adik vitamin, kena makan setiap hari. Pada tarikh yang Doktor catatkan ni, adik mesti bersetubuh dengan suami. Sekiranya berhasil, Alhamdulillah. Sekiranya adik mai period untuk next cycle, mesti mai jumpa Doktor naa"

Vitamin yang Dr.Munirah bagi rupanya adalah folic acid. Aku tahu kebaikan folic acid, memang diperlukan bagi bakal ibu. Aku ambil folic acid setiap hari dan menurut nasihat doktor untuk bersama pada tarikh yang telah dicatatkan. Namun pada Februari aku sekali lagi didatangi haid. Maka, pada hari ke-2 dalam kitaran haid itu aku berjumpa dengan Dr.Munirah untuk konsultasi seterusnya. Aku dimaklumkan untuk mengambil pil subur itu selama 5 hari bermula hari ke-2 kitaran haid. Aku juga dibekalkan lagi dengan folic acid kerana bekalan yang ada hanya tinggal 2 papan sahaja.

Aku sangat berharap usaha ini akan berhasil. Namun aku segera sedar bahawa semua ini adalah rezeki daripada Allah. Pada Mac, aku telah didatangi haid. Aku agak putus asa untuk berjumpa doktor lagi. "Tak apa lah, nanti ada lah tu". Kebetulan pula pada bulan Mac banyak pula program kena hadiri. Hampir setiap minggu aku pulang ke KL.
Aku pulang ke KL untuk majlis perkahwinan sahabatku

Menyambut ulangtahun kelahiran ratu hatiku

Pada lewat Mac, aku mula berasa cepat mengantuk dan berselera. Kali terakhir, pada awal April, aku pulang lagi ke KL kerana urusan keluarga. Kalau masakan mak, mestilah tak tolak. Asyik nak makan. Sejak balik dari KL, rasa mengantuk masih lagi menguasai aku sewaktu di pejabat. Biasanya aku akan naik ke surau untuk solat sunat Dhuha. Tetapi masa itu aku abaikan solat Dhuha, dan naik ke surau sebab nak tidur sahaja.

Pada 13 April, ada spotting setiap kali aku buang air kecil. Beberapa hari sebelum itu aku dah mula rasa cramp dan menyucuk di bahagian ari-ari sebelah kiri dan kanan. Sebetulnya sudah 5 hari aku lewat datang period. Setiap masa aku sakit perut, aku fikir itu period pain. Selama 3 hari sejak 13 April hanya spotting sahaja yang keluar. Pada hari ke-4, barulah ada seakan period flow selama 4 hari. Aku pelik dengan period kali ini. Sudahlah lewat 5 hari, hanya selepas 3 hari baru ada flow. Sakit perut pula tak dapat digambarkan, sampai sengal pinggang hingga ke paha. Rasa sakit sampai nak menangis.

Malam tu suami aku kerja, jadi aku hanya mampu mengadu dengan ber-SMS. Selang beberapa jam, suami aku called bertanyakan khabar. Aku katakan siangnya nanti nak ajak dia teman berjumpa Dr.Munirah kerana sakit perut dan nak mohon nasihat seterusnya berkenaan kesuburan.

Pada pagi 18 April tu, aku mengadu kepada doktor berkenaan perutku yang sakit sangat. Aku mohon doktor scan sambil katakan aku dalam period yang lewat 5 hari daripada kitaran yang sepatutnya. Dr.Munirah scan di bahagian rahim, kosong. "Period pain agaknya, rahim adik kosong. Takda apa-apa" Doktor berikan aku ubat sakit perut dan tahan sakit. Aku kemudian memohon pandangan doktor berkenaan usaha untuk mempunyai zuriat. Doktor cadangkan kami terus ke hospital untuk rawatan kesuburan. "Doktor boleh berikan pil subur lagi selama 6 bulan, tapi kalau tak berhasil rugilah masa. Jadi Doktor sarankan adik terus ke hospital. Di sini yang terdekat untuk rawatan kesuburan ialah Hospital Alor Setar"

Di dalam kereta, aku berbincang dengan suamiku. Dia pun berikan pendapat yang sama iaitu untuk terus dapatkan nasihat dan rawatan di hospital. "Nanti senang-senang kita gi lah". "OK"..

Selang sehari selepas itu aku dah mandi wajib dan bersolat. Tapi keesokan harinya ada lagi spotting. "Haish..panjang betul period kali ni. Pelik" Hari berikutnya aku bersuci lagi dan solat seperti biasa. Minggu itu ada sahabat ku yang jatuh ulangtahun kelahirannya pada hari Jumaat. Macam biasa, kami makan bersama untuk meraikan. Aku teringin sangat chicken pasta bake, lalu minta seorang kenalan di office bikin satu bekas untuk aku. Itulah rupanya kali terakhir rasa mengidam yang aku alami tanpa aku sedari aku sedang hamil.
Chicken pasta bake yang aku idamkan dan sempat aku jamah sewaktu meraikan ulangtahun kelahiran sahabat

Sepanjang weekends perut aku rasa tak sedap. Rasa kembung dan buang air besar pun tak lawas. Bila aku minum air jamu, barulah rasa lega sikit.

Pada 25 April, aku masih lagi rasa sakit di bahagian perut. Tetapi seolah-olah aku dah biasa dengan kesakitan itu sehinggalah aku ke toilet untuk buang air kecil, aku dapati ada blood discharged. Aku pelik, takkan aku period lagi? Kali kedua aku ke toilet, masih ada blood discharged. Aku balik tengahari itu. Suamiku yang sedang tidur aku kejutkan untuk ke hospital. Segera dia mandi dan solat zuhur lalu kami ke hospital, terus ke bahagian kecemasan.
Aku sempat mengambil gambar blood discharged ini dan hantarkan ke suamiku.

Mengapa hati aku terhiris mengenangkan semua kenangan ini? Kerana kenangan-kenangan ini sebenarnya tersirat semua symptoms yang menunjukkan aku hamil namun aku tidak sedar. Aku abaikan diriku sehingga aku keguguran dan aku dibedah akibat kehamilan luar rahim. Aku sepatutnya lebih peka akan keadaan diri.

Yang paling aku kesali, mengapa aku tidak menjalani upt apabila aku lewat 5 hari?

Pengalaman pertama kali dibedah - #Ectopic1

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليكم

Dah seminggu berlalu... Tepat jam 6pm, 25 April 2016 yang lalu, aku ditolak ke OT untuk pembedahan kandungan luar rahim (ectopic pregnancy) atau nama lainnya tubal pregnancy.
Tanganku dimasukkan jarum untuk water dripping sebelum pembedahan

Sebelum dibedah, doktor bius menerangkan bahawa aku akan ditidurkan dan dibius seluruh badan kerana pembedahan ini agak serius apabila melibatkan bahagian perut. Aku relakan sahaja. Sebetulnya ketika itu aku masih keliru dan terkejut dengan apa yang sedang berlaku. Doktor mengenakan topeng penafasan dan menyuruh aku bernafas dengan tenang dan akhirnya aku tertidur tanpa sedar.

Sekitar jam 9, aku terjaga dan mendengar namaku dipanggil. "Puan Norina, Puan Ok?". "Doktor, saya mengantuklah", jawap aku. Aku masih mamai dan menahan katuk sehingga aku lihat di dinding tepat di hadapanku beranjak ke jam 9.15pm. Selepas itu, aku ditolak menuju ke Ward 10 Hospital Kulim.

Aku masih lagi mamai tapi aku sedar kehadiran suami yang aku cintai ada bersamaku. Dia menyuruh aku berehat dan memberitahu bahawa dia harus beredar seketika nanti kerana dia tak boleh menemaniku di ward kelas 3 itu. Aku merelakan dia pergi dan segera melelapkan mata.

Jam 1.30am aku terjaga untuk buang air kencing. Aku cuba untuk bangun dibantu oleh nurse. Tapi dihalang oleh staff nurse kerana aku belum melepasi 6 jam selepas pembedahan. Dibimbangi aku pitam di dalam toilet nanti. Aku sendiri sebenarnya kesakitan untuk bangun dari katil. Jadi, nurse memberikan (ahh aku tak tahu namanya..urine pail ke?) bekas yang diletakkan di bawah punggungku untuk aku buang air di atas katil. Segan dan rasa menyusahkan mereka. Tapi mereka tidak merungut dan menjalankan amanah melayani pesakit dengan hati terbuka.
Bekas blood drainage ini menghalang pergerakan aku.

Aku kemudiannya berehat dan terjaga sekitar jam 5am. Sunyi, lalu aku tidur semula sehingga suamiku datang pada jam 7am. Dia datang membawakan keperluan yang mungkin aku perlukan semasa di dalam ward. Diperjelaskan satu per satu apa yang dibawanya. Setianya dia menjagaku. Dipesannya supaya banyakkan berehat dan jangan difikirkan hal yang sudah berlaku.

Sejujurnya aku masih bingung dan keliru. Apa yang berlaku kepadaku begitu tiba-tiba. Aku tak tahu apa yang aku rasakan. Aku diberitahu bahawa aku akan dibedah kerana mengandung di luar rahim sedangkan aku tidak tahu diriku hamil. Aku merelakan sahaja tanpa berfikir.

up