Aku Hamil Tanpa Sedar - #Ectopic2

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليك

Kali ini aku ingin mencatatkan kenangan-kenangan sebelum aku dibedah disebabkan kandungan luar rahim. Sejujurnya apabila aku mengenangkan perkara-perkara ini, hatiku terhiris. Namun aku ingin mencatatkan supaya menjadi ingatan manis buat aku kemudian hari.

Pada awal perkahwinan kami sehingga usia perkahwinan melewati tahun ke-2, aku dan suami tidak terlalu berharap untuk dikurniakan zuriat dengan segera. Kami hanya berserah kepada rezeki dari Allah tanpa berusaha bersungguh-sungguh, just follow the flow kata suamiku. Apabila usia perkahwinan mencecah tahun ke-3 dan umurku semakin meningkat dewasa, aku berharap kehadiran zuriat untuk menyerikan lagi perkahwinan kami.

Pada Januari tahun ini, aku mulai mendapatkan nasihat daripada doktor. Kali pertama aku berjumpa dengan Dr.Munirah, aku telah melewati hari ke-8 kitaran haid. Doktor kata "Sepatutnya adik mai hari pertama period atau selewat-lewatnya hari ke-2 untuk Doktor bagi pil subur. Tapi takpa, hari ni Doktor bagi adik vitamin, kena makan setiap hari. Pada tarikh yang Doktor catatkan ni, adik mesti bersetubuh dengan suami. Sekiranya berhasil, Alhamdulillah. Sekiranya adik mai period untuk next cycle, mesti mai jumpa Doktor naa"

Vitamin yang Dr.Munirah bagi rupanya adalah folic acid. Aku tahu kebaikan folic acid, memang diperlukan bagi bakal ibu. Aku ambil folic acid setiap hari dan menurut nasihat doktor untuk bersama pada tarikh yang telah dicatatkan. Namun pada Februari aku sekali lagi didatangi haid. Maka, pada hari ke-2 dalam kitaran haid itu aku berjumpa dengan Dr.Munirah untuk konsultasi seterusnya. Aku dimaklumkan untuk mengambil pil subur itu selama 5 hari bermula hari ke-2 kitaran haid. Aku juga dibekalkan lagi dengan folic acid kerana bekalan yang ada hanya tinggal 2 papan sahaja.

Aku sangat berharap usaha ini akan berhasil. Namun aku segera sedar bahawa semua ini adalah rezeki daripada Allah. Pada Mac, aku telah didatangi haid. Aku agak putus asa untuk berjumpa doktor lagi. "Tak apa lah, nanti ada lah tu". Kebetulan pula pada bulan Mac banyak pula program kena hadiri. Hampir setiap minggu aku pulang ke KL.
Aku pulang ke KL untuk majlis perkahwinan sahabatku

Menyambut ulangtahun kelahiran ratu hatiku

Pada lewat Mac, aku mula berasa cepat mengantuk dan berselera. Kali terakhir, pada awal April, aku pulang lagi ke KL kerana urusan keluarga. Kalau masakan mak, mestilah tak tolak. Asyik nak makan. Sejak balik dari KL, rasa mengantuk masih lagi menguasai aku sewaktu di pejabat. Biasanya aku akan naik ke surau untuk solat sunat Dhuha. Tetapi masa itu aku abaikan solat Dhuha, dan naik ke surau sebab nak tidur sahaja.

Pada 13 April, ada spotting setiap kali aku buang air kecil. Beberapa hari sebelum itu aku dah mula rasa cramp dan menyucuk di bahagian ari-ari sebelah kiri dan kanan. Sebetulnya sudah 5 hari aku lewat datang period. Setiap masa aku sakit perut, aku fikir itu period pain. Selama 3 hari sejak 13 April hanya spotting sahaja yang keluar. Pada hari ke-4, barulah ada seakan period flow selama 4 hari. Aku pelik dengan period kali ini. Sudahlah lewat 5 hari, hanya selepas 3 hari baru ada flow. Sakit perut pula tak dapat digambarkan, sampai sengal pinggang hingga ke paha. Rasa sakit sampai nak menangis.

Malam tu suami aku kerja, jadi aku hanya mampu mengadu dengan ber-SMS. Selang beberapa jam, suami aku called bertanyakan khabar. Aku katakan siangnya nanti nak ajak dia teman berjumpa Dr.Munirah kerana sakit perut dan nak mohon nasihat seterusnya berkenaan kesuburan.

Pada pagi 18 April tu, aku mengadu kepada doktor berkenaan perutku yang sakit sangat. Aku mohon doktor scan sambil katakan aku dalam period yang lewat 5 hari daripada kitaran yang sepatutnya. Dr.Munirah scan di bahagian rahim, kosong. "Period pain agaknya, rahim adik kosong. Takda apa-apa" Doktor berikan aku ubat sakit perut dan tahan sakit. Aku kemudian memohon pandangan doktor berkenaan usaha untuk mempunyai zuriat. Doktor cadangkan kami terus ke hospital untuk rawatan kesuburan. "Doktor boleh berikan pil subur lagi selama 6 bulan, tapi kalau tak berhasil rugilah masa. Jadi Doktor sarankan adik terus ke hospital. Di sini yang terdekat untuk rawatan kesuburan ialah Hospital Alor Setar"

Di dalam kereta, aku berbincang dengan suamiku. Dia pun berikan pendapat yang sama iaitu untuk terus dapatkan nasihat dan rawatan di hospital. "Nanti senang-senang kita gi lah". "OK"..

Selang sehari selepas itu aku dah mandi wajib dan bersolat. Tapi keesokan harinya ada lagi spotting. "Haish..panjang betul period kali ni. Pelik" Hari berikutnya aku bersuci lagi dan solat seperti biasa. Minggu itu ada sahabat ku yang jatuh ulangtahun kelahirannya pada hari Jumaat. Macam biasa, kami makan bersama untuk meraikan. Aku teringin sangat chicken pasta bake, lalu minta seorang kenalan di office bikin satu bekas untuk aku. Itulah rupanya kali terakhir rasa mengidam yang aku alami tanpa aku sedari aku sedang hamil.
Chicken pasta bake yang aku idamkan dan sempat aku jamah sewaktu meraikan ulangtahun kelahiran sahabat

Sepanjang weekends perut aku rasa tak sedap. Rasa kembung dan buang air besar pun tak lawas. Bila aku minum air jamu, barulah rasa lega sikit.

Pada 25 April, aku masih lagi rasa sakit di bahagian perut. Tetapi seolah-olah aku dah biasa dengan kesakitan itu sehinggalah aku ke toilet untuk buang air kecil, aku dapati ada blood discharged. Aku pelik, takkan aku period lagi? Kali kedua aku ke toilet, masih ada blood discharged. Aku balik tengahari itu. Suamiku yang sedang tidur aku kejutkan untuk ke hospital. Segera dia mandi dan solat zuhur lalu kami ke hospital, terus ke bahagian kecemasan.
Aku sempat mengambil gambar blood discharged ini dan hantarkan ke suamiku.

Mengapa hati aku terhiris mengenangkan semua kenangan ini? Kerana kenangan-kenangan ini sebenarnya tersirat semua symptoms yang menunjukkan aku hamil namun aku tidak sedar. Aku abaikan diriku sehingga aku keguguran dan aku dibedah akibat kehamilan luar rahim. Aku sepatutnya lebih peka akan keadaan diri.

Yang paling aku kesali, mengapa aku tidak menjalani upt apabila aku lewat 5 hari?

2 comment(s):

Hana alisha said...

Sabar ye sis.. Saya ni dh nk masuk 5 bulan dh tk mai period.. Scan dh bnyak kali dh.. Tapi doktor cakap tk dk apa.. Doktor bagi ubat turun darah pn saya tk berani makan.. Saya g dekat bidan.. Bidan cakap mengandung.. Tapi tu la confuse lagi ni.. Mengandung ke tak tk tau la.

nOtCinDeReLLa said...

Terima kasih sis Hana. Sis pun..sabar ye. Ada kawan saya hampir 6 bulan tak datang period. Lepas makan ubat, period datang dan Alhamdulillah lekat zuriat pertama

Post a Comment

Your comment will go for approval before published. SPAM is not allowed!!


up