Dari Bahagian Kecemasan ke OT - #Ectopic3

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليكم

Dahulu semasa aku kecil, sekitar umur 7 hingga 10 tahun, aku sering ke Hospital Kuala Lumpur. Kisahnya bermula apabila aku keteguran semasa umur aku 6 tahun. Sejak itu aku sering jatuh pengsan secara tiba-tiba. Aku juga mempunyai masalah lelah. Jadi kesihatan aku dipantau sehingga umur aku 10 tahun.

Alhamdulillah aku membesar menjadi seorang yang jarang jatuh sakit. Aku dah tak pernah ke hospital dan aku tidak biasa dengan keadaan di hospital.

Selepas lebih 20 tahun, 25 April yang lepas adalah kali pertama aku ke hospital disebabkan kesihatan aku. Aku kekok namun cuba menyesuaikan diri dengan hanya mengikuti arahan petugas-petugas di sana.

Suamiku menghentikan kenderaan di hadapan bahagian kecemasan Hospital Kulim. Disebabkan di situ hanya boleh drop penumpang, suamiku terus ke kawasan meletak kenderaan manakala aku ke kaunter untuk pendaftaran.

Petugas hospital yang sarat hamil meminta kad pengenalan ku. dan bertanyakan tujuan aku ke bahagian kecemasan. "Saya sakit perut, Puan". Aku lihat dia menulis "Abd pain" lalu meminta aku ke ruang menunggu sementara dia mengisi butiran di kad rawatan.

Selepas menunggu hampir setengah jam untuk diperiksa oleh nurse, aku diarah masuk ke dalam ruang menunggu di bahagian seterusnya. Aku kemudian diperiksa oleh Dr.Fitri sambil dibimbing oleh Dr.Siva. Ditekan-tekannya perut aku untuk diperiksa. Aku ceritakan kesakitan aku. Perut aku diimbas, rahim aku kosong, bladder ok, tiada yang tidak normal. Setelah itu aku disuruh memberikan sample urine. Terkedek-kedek aku ke toilet sambil dipimpin suamiku tercinta.

Melalui ujian yang dilakukan kepada sample urine, Dr.Fitri mengatakan aku hamil. Aku bingung, aku terkejut. Doktor kata rahim aku kosong, tapi melalui ujian urine aku disahkan hamil. Aku tak tahu apa yang patut aku rasakan.

Selanjutnya aku dibawa ke Pakar 1 untuk pemeriksaan lanjutan. Aku sekali lagi disuruh memberikan sample urine dan diimbas rahimku melalui perut termasuklah melalui vagina. Sekali lagi Dr. Rosma pula mengatakan rahimku kosong. Dr. Aninsa dan Dr. Rosma menjangkakan aku hamil luar rahim. Aku dijelaskan bahawa kandungan ini membahayakan nyawa aku jika aku tidak dibedah. Pendarahan yang berterusan akan meragut nyawa aku. Ketika itu aku masih bingung, semua ini sangat tiba-tiba. Hanya beberapa minit yang lepas aku diberitahu aku hamil. Kini aku pula harus dibedah. Aku hanya bersetuju. Suamiku setia di sisi dan segera menelefon majikannya untuk memohon cuti menemaniku.

Aku lihat wajah suamiku, tenang namun terlihat perasaan bercampur-baur. Seketika kemudian, aku ditolak ke Ward 10 untuk direhatkan sementara menunggu masa dibedah. Beberapa kali aku ditanya bilakah kali terakhir aku makan dan minum. Doktor perlu memastikan sekurang-kurangnya 6 jam selepas kali terakhir aku makan, barulah aku boleh dibedah.

Semasa berehat, aku disuakan beberapa borang kebenaran pembedahan. Aku ditemani suamiku yang setia. Doktor bius datang dan mengatakan aku akan dibedah pada pukul 6.30pm. Ada lagi beberapa jam sebelum aku dibedah, suamiku pulang ke rumah sementara. Tetapi menjelang pukul 6pm sewaktu suamiku masih di rumah, aku telah ditolak ke OT untuk persediaan pembedahan.

Rasa hati nak minta doktor tangguhkan, tapi siapalah aku. Aku ikutkan sahaja.. Sepanjang masa sebelum aku dibius, istighfar tidak putus daripada bibirku. 


0 comment(s):

Post a Comment

Your comment will go for approval before published. SPAM is not allowed!!


up