Kisah Perut Lapar Haha

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليكم

Pagi ni bangun pukul 6am untuk solat subuh. Lepas tu gegas buat sarapan dan masakkan bekal untuk En.Syg yang bekerja hari ni. Malam tadi En.Syg minta roti telur sebagai sarapan, untuk bekal pulak saya masakkan telur masak kicap je sebab belum ke pasar beli lauk. Cadangnya malam nanti baru nak ke pasar malam. Siang semalam ke Giant cuma beli barang-barang kering je. En.Syg kata lauk-lauk, sayur dan bawang nanti kita beli kat pasar malam je. 

Lepas En.Syg gi kerja, panaskan nasi lemak beli pagi semalam dan makan sekeping roti telur balance En.Syg punya. Rasa macam dah kenyang dah. Belum dua jam, lapar pulak. Potong dua slices kek pisang beli semalam. Tapi lapar lagi..haha makan pulak lauk yang masak pagi tadi dengan nasi putih panas-panas. Alahai banyak pulak makan.

Pagi ni mulakan projek nak buat mini white studio guna kotak terpakai n mahjong paper. Sikit lagi nak siap, cuma takde manila card warna putih je. Oh, dan nak beli lampu sebagai lightning. Tapi kalau takde lampu, terpaksalah gunakan waktu siang gunakan cahaya matahari je.

Pukul 11.30am tadi mata mengantuk, baring-baring tertidur pulak 2 jam..haha. Lepas mandi dan solat zuhur tadi rasa lapar lagi. Hai lah kenapa kau perut asyik minta makan je? Perabih ais krim f&n tripolitan yang dah tinggal sikit sangat tu. Makan dengan kon ais krim. Dah habis satu, rasa lapar lagi. Adoyai... Lepas ni nak makan apa pulak? Baru pukul 3.30pm..haha

Weekend'sTableTalk

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليكم

Heaven sangat lepak di rumah sambil makan ais krim 🍦🍦.. Lepas tu tulis blog. Hehehe

Selamat Tahun Baru Hijrah kawan-kawan.. Semoga setahun yang mendatang ni lebih baik daripada tahun yang lepas. Jom perbaiki diri dalam ibadah, akhlak dan ekonomi. 

Norin dengan khabar angin kononnya tahun 2018 nanti dijangka akan berlaku krisis ekonomi terburuk dan inflasi mencanak. Risau juga bila dengar.. Jadi, jomlah kita giatkan usaha untuk meningkatkan ekonomi sementara masih berpeluang.

Satu yang paling Norin risau ialah kejatuhan nilai mata wang. Tahun lepas bermulanya kejatuhan MYR, seingat Norin sehingga RM4.30 berbanding USD atau mungkin lebih daripada itu. Hari ni kadarnya RM4.12 berbanding USD1. Entah bila pulak nak turun macam sebelum ni. Berapa eh? RM3.30 kan?

Harga emas pun makin lama makin tinggi. Tapi dilemma jugak nak beli emas ni. Kalau tak beli sekarang, takut pula akan semakin naik esok-esok. Kalau beli hari ni, bimbang putih mata bila emas turun sikit 🙈🙈. Huhuhu akhirnya tak terbeli jugak lah. Bila Norin fikir-fikir, baik beli je lah. Sekurang-kurangnya nilai duit dah bertukar jadi emas.

Syukur Kunci Kebahagiaan

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليكم

Sekali lagi saya ingin bicarakan tentang jodoh dan rumahtangga. Amboi, macam kaunselor rumahtangga pulak! Baru berkahwin 3 tahun dah nak cakap macam pakar. Tapi tu lah, seperti yang saya katakan sebelum ini, saya hanya beri pendapat melalui pengalaman dan bahagian saya. Mungkin pengalaman saya terlalu sedikit, namun tidak bermakna elmu saya zero.

Pada entry lepas saya ada bicarakan tentang menerima seadanya jodoh kita walaupun dia banyak kekurangan. Sebenarnya kita juga tidaklah sempurna, maka jodoh kita adalah pelengkap diri kita. Tetapi biasalah manusia, kelemahan orang jelas di mata kita, namun kelemahan sendiri langsung tak nampak. Kita berharap pasangan atau jodoh kita berubah menjadi seorang yang kita idamkan, namun diri sendiri kita tidak mahu berubah.

Teringat pesanan guru, FOR THING TO CHANGE, I MUST CHANGE FIRST. Kita tak dapat merubah orang lain, tetapi kita mampu merubah diri sendiri. Kita hanya boleh percaya kepada Allah dan diri sendiri sahaja. Jangan berharap pada hamba, berharaplah pada Allah semata-mata kerana Allah sahajalah yang berkuasa merubah hati seseorang. Jangan putus doa kepada Dia agar kehidupan dunia akhirat kita mendapat kebaikan dan kebahagiaan.

Setiap ujian dan cabaran yang kita hadapi adalah untuk menguji kesabaran dan ketaqwaan kita kepada Allah. Jika kita bersabar dalam menghadapi setiap cabaran, dengan izinNya Dia akan memberikan balasan yang lebih baik. Sentiasalah bersyukur atas setiap yang berlaku, kerana hanya hati yang bersyukur akan merasai kebahagiaan.

Bersabar itu lebih baik

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليكم

Malam ini hati saya tersentuh. Bukan sahaja dengan kejayaan LCW ke final Olympic Rio, tetapi juga dengan suatu kisah rumahtangga.

Alhamdulillah saya bersyukur dengan kehidupan yang Allah berikan kepada saya. Walaupun tidak mewah, tapi saya syukur dengan apa yang saya ada. Kehidupan saya tidak sempurna, tapi Alhamdulillah saya bahagia dengan setiap yang ditakdirkan.

Saya faham, saya hanya boleh bercakap melalui apa yang telah ditakdirkan kepada saya. Ini bahagian saya, ini rezeki saya. Bahagian dan rezeki anda mungkin tidak saya dengan saya, atau mungkin lebih baik lagi. Pendapat saya adalah berdasarkan bahagian dan rezeki saya. Tiada yang salah jika pendapat kita berbeza.

Saya ingin kongsikan pendapat saya tentang jodoh. Saya sudah berkahwin selama 3 tahun 8 bulan dengan pilihan saya. Maaf.. saya sebenarnya sudah berkahwin dengan jodoh yang ditakdirkan untuk saya. Suami saya ialah jodoh saya. Jodoh; baik dan buruknya dia, dia adalah jodoh saya. Tiada manusia yang sempurna. Walaupun perkahwinan kami baru..ya, baru 3 tahun, tetapi seperti pasangan lain kami juga diberikan pelbagai ujian.

Ujian dan cabaran yang kami lalui tidak dapat saya kongsikan di sini. Tetapi apa yang ingin saya tegaskan, walaupun peritnya ujian dan cabaran yang saya lalui bersama suami, tidak menjadikan alasan untuk saya back off. Sebab, saya pegang ikatan ini walau bagaimana pun keadaannya. Sebab, saya hanya percaya bahawa inilah takdir hidup saya. Sebab, saya pegang bahawa dia lah jodoh saya. Kerana saya faham bahawa saya bukan berkahwin dengan kebahagiaan semata-mata, tetapi saya berkahwin dengan jodoh saya yang mana dia tidak sempurna.

Segala kelemahan dan kekurangan suami saya, saya harus terima dan berdoa semoga Allah kurniakan segala kebaikan dunia dan akhirat kepadanya. Suami saya ialah kunci syurga saya, perkahwinan ini adalah lubuk pahala saya. Atas penerimaan saya dan tentulah dengan izin daripada Allah, dengan bagaimana saya ingin mencorakkan perkahwinan ini. Jika saya ingin memandang kelemahan suami sebagai penghalang kebahagiaan saya, maka bersedihlah saya sepanjang masa. Namun jika saya memandang kelemahan dia sebagai penghibur, maka bergembiralah saya.

Saya ingin berpesan kepada kenalan saya dan diri saya sendiri, pertahankanlah rumahtangga dengan merasai kebahagian atas apa yang kita miliki. Jangan melihat kepada apa yang kita tidak miliki dan merasakan kekurangan yang menyebabkan kita tidak bahagia. Doa adalah kunci kejayaan. Selalulah berdoa supaya Allah kurniakan kebaikan dunia dan akhirat kepada kita. Sayangilah dan terimalah jodoh kita seadanya dia.

It such a heart breaking, bila mana suatu perkahwinan musnah disebabkan kekurangan masing-masing. Isteri tidak dapat terima buruk suami. Suami tidak dapat terima buruk isteri. Ada pihak ketiga pula yang ambil kesempatan. Apa yang boleh saya katakan, bersabarlah. Sabar dengan kekurangan masing-masing. Janganlah cepat putus asa dan membiarkan hubungan itu reput dengan sendirinya. Dengan kata lain, takkan lah sebab dia macam tu, ko nak buang dia dari hidup ko. Dia jodoh ko kot!

Kembali ke sekolah pulak

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليكم

Baru lepas berbual dengan adik yang belajar di Johor melalui WhatsApp. Sebelum ini dia ada tanya idea untuk mini project electronic. Haish kakak dia ni bukan bijak sangat pun semasa di kolej. Lagipun dah hampir 10 tahun tinggalkan zaman study. Tak pasal, terpaksalah buat sedikit study untuk idea pada budak sekor tu..hehehe

Mula-mula bagi idea traffic light, tapi dia nak try security alarm system. Bentang proposal pada lecturer, lecturer tolak pulak. Katanya sebab circuit terlalu ringkas dan aplikasi tak menarik. Lecturer cadangkan buat heat alarm pulak. Selepas study sikit, kakak dia ni bagi idea fire alarm system, itu pun merujuk website yang bagi free idea untuk mini project sekali dengan complete circuit. Cuma fahamkan circuit, beli komponen dan pasangkan atas breadboard. InsyaAllah berfungsilah circuit tu, maka berjayalah mini project korang. All the best adikku!

Kami Rindu Embah Yah

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليكم

Tahun ni mungkin boleh dikatakan tahun yang menguji keimanan dan kesabaran kami di mana kami diuji dengan peristiwa sedih. Namun begitu kami redha.

Pada 14 Syawal 1437 bersamaan 19 Julai 2016 yang lepas telah pergi nenda kesayangan kami; Marsiah binti Sukinem akibat kanser usus. Selepas hampir 2 tahun diagnosed kanser usus dan telah menjalani pembedahan, akhirnya Embah Yah pergi jua. Kami redha dan kami relakan kerana mengenangkan kesakitan yang lama beliau tanggung, pemergiannya ini mungkin adalah yang terbaik.

Sehari sebelum Embah Yah meninggal dunia, aku terima panggilan telefon daripada Mak mengatakan Embah Yah minta dibawa ke hospital kerana sakitnya sudah tidak tertanggung, sedangkan selama beberapa hari sebelum itu beliau enggan apabila diajak ke hospital. Malamnya, aku hubungi abang sulung untuk mengikuti perkembangan Embah Yah. Abang Apis memaklumkan kondisi Embah semakin tenat dan meminta aku bersama-sama mendoakan semoga Allah berikan kesudahan yang baik buat Embah Yah.

Aku ketika itu berserah pada Allah kerana aku tidak mampu berbuat apa-apa. Aku hanya mendoakan semoga urusan dunia dan akhirat Embah Yah dipermudahkan oleh-Nya. Ingin saja aku balik kampung ketika itu untuk menziarah Embah Yah, tapi aku tak terdaya. Suami aku ketika itu sedang bekerja, jadi aku terpaksa tunggu keesokan pagi untuk bertolak balik.

Pagi itu, hampir setiap masa aku hubungi abang-abang aku untuk mengikuti perkembangan Embah Yah. Sedang aku dalam perjalanan pulang, abang aku memaklumkan Embah Yah dah tak ada.......

"Yang pergi dah tentu pergi, adik. Adik hati-hati dalam perjalanan"

Sepanjang perjalanan suami aku cuba menenangkan perasaan aku dan menceriakan aku. Aku sedih, tapi aku masih dapat tahan air mataku. Perjalanan kami mengambil masa lebih 5 jam dari Kulim ke Sagil. Aku berharap aku berpeluang menatap wajah Embah Yah buat kali terakhir. Namun kurang sejam sebelum aku sampai, Embah Yah sudah selamat disemadikan. Ya, memang aku sedih tak dapat tengok Embah Yah, aku agak terkilan. Tapi apabila aku dikhabarkan urusan Embah Yah dipermudahkan, aku sangat bersyukur dan redha.

Sepanjang aku di kampung, aku rasa sangat sedih namun aku masih tahan air mata aku. Aku sedih tengok Embah Sudir kesedihan ditinggalkan isteri yang tercinta. Aku lihat sendiri matanya bengkak apabila itu adalah malam pertama dia tidur tanpa isterinya. Embah Sudir sangat sayangkan Embah Yah. Aku pernah menyaksikan Embah Sudir mencempung Embah Yah ketika membetulkan pembaringannya semasa dia terlantar di katil. Begitu kasihnya kepada isteri tercinta. Kini Embah Sudir sendiri meniti hari tuanya.

Selepas hampir dua hari aku di sana, malam itu kami minta diri untuk terus pulang ke Kulim. Aku telah berjanji pada bos untuk bekerja keesokan hari. Air mata yang aku tahan sepanjang aku di kampung aku lepaskan dalam perjalanan. Suami aku seakan memahami, dia membiarkan aku teresak-esak di sebelahnya yang sedang memandu.

InsyaAllah aku tak lupa hadiahkan Al-Fatihah dan Yaasin supaya roh Embah Yah dicucuri rahmat, dan semoga kuburnya diterangi dilapangkan. Aamiin Ya Rabb.

Nak Flawless Tapi Dapat Jerawat Pasir

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليكم

Hai..hehehe Cik Rean muncul balik. Rindu nak blogging. Ni CR nak meluahkan rasa kecewa sikit ni.. CR ni memanglah comel orangnya 😝 huhuhu.. Tapi kulit CR tak flawless. Kononnya tertarik dengan banyak testimoni berjaya satu produk tu. Yelah, tengok orang lain kulit cantik, kita pun nak jugak. Baru-baru ni produk tu buat promosi separuh harga, jadi CR pun rembatlah peluang ni. Siapa tak nak beli murah kan?

Beberapa hari makan produk tu belum nampak kesan lagi. Tapi bagi CR itu adalah bagus sebab CR tak suka rapid effects. Biasanya produk yang bagi rapid effects ni ada kandungan bahan berbahaya. CR cuba produk tu dah lebih 2 minggu, tapi sekarang CR dah stop sebab healing crisis dia menggusarkan hati CR

Sebelum ni dahi CR takde jerawat pasir. Lepas makan produk tu, berpasir dahi CR ni. Teringat pulak kat seorang colleague CR kat office ni, dia pun naik banyak jerawat selepas makan satu produk lain. Sampai sekarang bekas jerawat tak hilang, kulit pun nampak kusam. Takut jadi macam tu, CR pun stop makan produk ni.

CR suka produk yang lebih natural. Kesannya mungkin lambat tapi tak bagi complications atau side effects. Contoh produk yang CR yakin ialah GoMilk dan Vitamin C Shaklee. Ya, produk-produk ni memang tak bagi rapid effects sebab ia natural. Rasa menyesal pulak cuba produk yang tu, mujurlah belum terlewat dan tak jadi semakin teruk.

My Child Existed - #Ectopic5

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليكم

Ada hikmah mengapa aku tak tahu yang aku hamil. Memang jika dikenang-kenangkan hati rasa terhiris. Tapi kalau aku tahu aku hamil, pasti aku lebih terluka. Sesungguhnya percaturan dan perancangan Allah itu lebih sempurna dan terbaik untuk aku.

Alhamdulillah, sekarang aku lebih tenang walaupun kadang-kadang emosi terusik juga. Fokus utama sekarang ialah giatkan usaha..cewah! Subhanallah, ujian ini sebenarnya ada hikmah yang tersirat. Ini bermakna kami berdua tiada masalah untuk mempunyai zuriat keturunan, hanya menunggu masa diizinkan Allah.

Kurang 4 hari lagi genap sebulan aku dibedah, tinggal 2 minggu je lagi nak habis pantang. Bermula Selasa lepas aku dah ke office menyambung tugas. Alhamdulillah, luka luaran akibat operation dah 90% sembuh. Luka dalaman pasti ambil masa lama sikit, jadi semua pesan supaya jaga makan dan jangan angkat yang berat-berat.

Aku target tahun depan kami akan dikurniakan zuriat keturunan. Sekarang ni anak-anak kami masih di alam roh. InsyaAllah sebelum berakhirnya tahun ni, mereka akan pindah ke alam rahim dan seterusnya lahir ke alam dunia. Aku doakan semoga Allah mengurniakan kami zuriat keturunan dari kalangan hamba-hambaNya yang soleh solehah. Aamiin





4 Days Admitted - #Ectopic4

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليكم

Bermula 25 April hingga 28 April aku dimasukkan ke Ward 10 Hospital Kulim. Hari pertama cepat berlalu disebabkan aku menjalani pembedahan. Masa berlalu tanpa aku sedar kerana aku masih di bawah pengaruh gas tidur dan bius. Bermula daripada saat aku dimasukkan ke ward, aku sudah dikenakan water dripping. Mak aih..punyalah sakit jarum tu masuk ke tangan kiriku. Rasa sakit sampai ke tulang. 

Pagi 26 April semasa doktor ingin on antibiotic ke dalam badan aku, Dr.Liyana mengenakan jarum di tangan kananku pula kerana jarum di tangan kiri yang sepatutnya membekalkan air melalui salur darah telah bocor ke bahagian tisu. Sebab tu lah aku perasan tangan kiriku agak bengkak. Dengan terpaksa, aku relakan sahaja Dr.Liyana mengenakan jarum di tangan kananku.
On antibiotic pada 26 dan 27 April

Sepanjang aku warded, aku diberi makan 4 kali sehari. Sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Dalam masa yang sama, pil PCM dan 2 jenis antibiotic diberikan setiap 12 jam. Doktor tak mahu aku demam. Kalau aku demam, bermaksud aku akan ditahan di ward lebih lama. Aku akan dibenarkan discharged bila darah dari perutku akibat pembedahan keluar sepenuhnya. Setiap hari doktor akan pantau blood drainage tu. Semakin hari semakin berkurangan isipadu darah yang keluar.
Sarapan pagi dengan air coklat dan roti kosong

Hari ke-2 aku di ward, kawan-kawan office datang menziarah pada sebelah tengah hari. Aku juga dikunjungi oleh seorang teman berpangkat adik yang sangat perihatin. Emak masih dalam perjalanan menaiki bas dan akan sampai sebelah malamnya. Suamiku pula setiap hari tak jemu mengunjungi aku di awal pagi dan setiap kali waktu melawat. Aku sangat bersyukur dipilih menjadi suri hidupnya. Dia melayan aku dengan sangat sabar.

Pada 27 April, aku sekali lagi on antibiotic. Jarum yang dimasukkan oleh Dr.Liyana agak kemas, jadi masih boleh digunakan pada hari seterusnya. Dr.Aninsa dan Dr.Shanti menyuruh aku berjalan dan bergerak-gerak supaya darah dari perut masuk ke drainage tu lancar dan aku boleh segera discharge.

Pada pagi 28 April, aku dilawati oleh Dr.Goh iaitu doktor pakar disitu. Menurut Dr.Goh, hari ini aku boleh discharge. Sudah tiada darah yang keluar kecuali air yang bercampur sedikit darah dari lubang di perut aku. Aku segera memaklumkan kepada suamiku untuk membawa aku pulang pada tengah hari itu.

Hampir setiap masa ramai yang mendoakan agar aku cepat sembuh dan memperoleh kebaikan di masa akan datang. Kawan-kawanku tak putus memberikan semangat kepadaku.

"Allah sayang Norin dan akan gantikan yang lebih baik untuk Norin" Aku rasa terharu dan berterima kasih. InsyaAllah, aamiin.

Dari Bahagian Kecemasan ke OT - #Ectopic3

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليكم

Dahulu semasa aku kecil, sekitar umur 7 hingga 10 tahun, aku sering ke Hospital Kuala Lumpur. Kisahnya bermula apabila aku keteguran semasa umur aku 6 tahun. Sejak itu aku sering jatuh pengsan secara tiba-tiba. Aku juga mempunyai masalah lelah. Jadi kesihatan aku dipantau sehingga umur aku 10 tahun.

Alhamdulillah aku membesar menjadi seorang yang jarang jatuh sakit. Aku dah tak pernah ke hospital dan aku tidak biasa dengan keadaan di hospital.

Selepas lebih 20 tahun, 25 April yang lepas adalah kali pertama aku ke hospital disebabkan kesihatan aku. Aku kekok namun cuba menyesuaikan diri dengan hanya mengikuti arahan petugas-petugas di sana.

Suamiku menghentikan kenderaan di hadapan bahagian kecemasan Hospital Kulim. Disebabkan di situ hanya boleh drop penumpang, suamiku terus ke kawasan meletak kenderaan manakala aku ke kaunter untuk pendaftaran.

Petugas hospital yang sarat hamil meminta kad pengenalan ku. dan bertanyakan tujuan aku ke bahagian kecemasan. "Saya sakit perut, Puan". Aku lihat dia menulis "Abd pain" lalu meminta aku ke ruang menunggu sementara dia mengisi butiran di kad rawatan.

Selepas menunggu hampir setengah jam untuk diperiksa oleh nurse, aku diarah masuk ke dalam ruang menunggu di bahagian seterusnya. Aku kemudian diperiksa oleh Dr.Fitri sambil dibimbing oleh Dr.Siva. Ditekan-tekannya perut aku untuk diperiksa. Aku ceritakan kesakitan aku. Perut aku diimbas, rahim aku kosong, bladder ok, tiada yang tidak normal. Setelah itu aku disuruh memberikan sample urine. Terkedek-kedek aku ke toilet sambil dipimpin suamiku tercinta.

Melalui ujian yang dilakukan kepada sample urine, Dr.Fitri mengatakan aku hamil. Aku bingung, aku terkejut. Doktor kata rahim aku kosong, tapi melalui ujian urine aku disahkan hamil. Aku tak tahu apa yang patut aku rasakan.

Selanjutnya aku dibawa ke Pakar 1 untuk pemeriksaan lanjutan. Aku sekali lagi disuruh memberikan sample urine dan diimbas rahimku melalui perut termasuklah melalui vagina. Sekali lagi Dr. Rosma pula mengatakan rahimku kosong. Dr. Aninsa dan Dr. Rosma menjangkakan aku hamil luar rahim. Aku dijelaskan bahawa kandungan ini membahayakan nyawa aku jika aku tidak dibedah. Pendarahan yang berterusan akan meragut nyawa aku. Ketika itu aku masih bingung, semua ini sangat tiba-tiba. Hanya beberapa minit yang lepas aku diberitahu aku hamil. Kini aku pula harus dibedah. Aku hanya bersetuju. Suamiku setia di sisi dan segera menelefon majikannya untuk memohon cuti menemaniku.

Aku lihat wajah suamiku, tenang namun terlihat perasaan bercampur-baur. Seketika kemudian, aku ditolak ke Ward 10 untuk direhatkan sementara menunggu masa dibedah. Beberapa kali aku ditanya bilakah kali terakhir aku makan dan minum. Doktor perlu memastikan sekurang-kurangnya 6 jam selepas kali terakhir aku makan, barulah aku boleh dibedah.

Semasa berehat, aku disuakan beberapa borang kebenaran pembedahan. Aku ditemani suamiku yang setia. Doktor bius datang dan mengatakan aku akan dibedah pada pukul 6.30pm. Ada lagi beberapa jam sebelum aku dibedah, suamiku pulang ke rumah sementara. Tetapi menjelang pukul 6pm sewaktu suamiku masih di rumah, aku telah ditolak ke OT untuk persediaan pembedahan.

Rasa hati nak minta doktor tangguhkan, tapi siapalah aku. Aku ikutkan sahaja.. Sepanjang masa sebelum aku dibius, istighfar tidak putus daripada bibirku. 


Aku Hamil Tanpa Sedar - #Ectopic2

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليك

Kali ini aku ingin mencatatkan kenangan-kenangan sebelum aku dibedah disebabkan kandungan luar rahim. Sejujurnya apabila aku mengenangkan perkara-perkara ini, hatiku terhiris. Namun aku ingin mencatatkan supaya menjadi ingatan manis buat aku kemudian hari.

Pada awal perkahwinan kami sehingga usia perkahwinan melewati tahun ke-2, aku dan suami tidak terlalu berharap untuk dikurniakan zuriat dengan segera. Kami hanya berserah kepada rezeki dari Allah tanpa berusaha bersungguh-sungguh, just follow the flow kata suamiku. Apabila usia perkahwinan mencecah tahun ke-3 dan umurku semakin meningkat dewasa, aku berharap kehadiran zuriat untuk menyerikan lagi perkahwinan kami.

Pada Januari tahun ini, aku mulai mendapatkan nasihat daripada doktor. Kali pertama aku berjumpa dengan Dr.Munirah, aku telah melewati hari ke-8 kitaran haid. Doktor kata "Sepatutnya adik mai hari pertama period atau selewat-lewatnya hari ke-2 untuk Doktor bagi pil subur. Tapi takpa, hari ni Doktor bagi adik vitamin, kena makan setiap hari. Pada tarikh yang Doktor catatkan ni, adik mesti bersetubuh dengan suami. Sekiranya berhasil, Alhamdulillah. Sekiranya adik mai period untuk next cycle, mesti mai jumpa Doktor naa"

Vitamin yang Dr.Munirah bagi rupanya adalah folic acid. Aku tahu kebaikan folic acid, memang diperlukan bagi bakal ibu. Aku ambil folic acid setiap hari dan menurut nasihat doktor untuk bersama pada tarikh yang telah dicatatkan. Namun pada Februari aku sekali lagi didatangi haid. Maka, pada hari ke-2 dalam kitaran haid itu aku berjumpa dengan Dr.Munirah untuk konsultasi seterusnya. Aku dimaklumkan untuk mengambil pil subur itu selama 5 hari bermula hari ke-2 kitaran haid. Aku juga dibekalkan lagi dengan folic acid kerana bekalan yang ada hanya tinggal 2 papan sahaja.

Aku sangat berharap usaha ini akan berhasil. Namun aku segera sedar bahawa semua ini adalah rezeki daripada Allah. Pada Mac, aku telah didatangi haid. Aku agak putus asa untuk berjumpa doktor lagi. "Tak apa lah, nanti ada lah tu". Kebetulan pula pada bulan Mac banyak pula program kena hadiri. Hampir setiap minggu aku pulang ke KL.
Aku pulang ke KL untuk majlis perkahwinan sahabatku

Menyambut ulangtahun kelahiran ratu hatiku

Pada lewat Mac, aku mula berasa cepat mengantuk dan berselera. Kali terakhir, pada awal April, aku pulang lagi ke KL kerana urusan keluarga. Kalau masakan mak, mestilah tak tolak. Asyik nak makan. Sejak balik dari KL, rasa mengantuk masih lagi menguasai aku sewaktu di pejabat. Biasanya aku akan naik ke surau untuk solat sunat Dhuha. Tetapi masa itu aku abaikan solat Dhuha, dan naik ke surau sebab nak tidur sahaja.

Pada 13 April, ada spotting setiap kali aku buang air kecil. Beberapa hari sebelum itu aku dah mula rasa cramp dan menyucuk di bahagian ari-ari sebelah kiri dan kanan. Sebetulnya sudah 5 hari aku lewat datang period. Setiap masa aku sakit perut, aku fikir itu period pain. Selama 3 hari sejak 13 April hanya spotting sahaja yang keluar. Pada hari ke-4, barulah ada seakan period flow selama 4 hari. Aku pelik dengan period kali ini. Sudahlah lewat 5 hari, hanya selepas 3 hari baru ada flow. Sakit perut pula tak dapat digambarkan, sampai sengal pinggang hingga ke paha. Rasa sakit sampai nak menangis.

Malam tu suami aku kerja, jadi aku hanya mampu mengadu dengan ber-SMS. Selang beberapa jam, suami aku called bertanyakan khabar. Aku katakan siangnya nanti nak ajak dia teman berjumpa Dr.Munirah kerana sakit perut dan nak mohon nasihat seterusnya berkenaan kesuburan.

Pada pagi 18 April tu, aku mengadu kepada doktor berkenaan perutku yang sakit sangat. Aku mohon doktor scan sambil katakan aku dalam period yang lewat 5 hari daripada kitaran yang sepatutnya. Dr.Munirah scan di bahagian rahim, kosong. "Period pain agaknya, rahim adik kosong. Takda apa-apa" Doktor berikan aku ubat sakit perut dan tahan sakit. Aku kemudian memohon pandangan doktor berkenaan usaha untuk mempunyai zuriat. Doktor cadangkan kami terus ke hospital untuk rawatan kesuburan. "Doktor boleh berikan pil subur lagi selama 6 bulan, tapi kalau tak berhasil rugilah masa. Jadi Doktor sarankan adik terus ke hospital. Di sini yang terdekat untuk rawatan kesuburan ialah Hospital Alor Setar"

Di dalam kereta, aku berbincang dengan suamiku. Dia pun berikan pendapat yang sama iaitu untuk terus dapatkan nasihat dan rawatan di hospital. "Nanti senang-senang kita gi lah". "OK"..

Selang sehari selepas itu aku dah mandi wajib dan bersolat. Tapi keesokan harinya ada lagi spotting. "Haish..panjang betul period kali ni. Pelik" Hari berikutnya aku bersuci lagi dan solat seperti biasa. Minggu itu ada sahabat ku yang jatuh ulangtahun kelahirannya pada hari Jumaat. Macam biasa, kami makan bersama untuk meraikan. Aku teringin sangat chicken pasta bake, lalu minta seorang kenalan di office bikin satu bekas untuk aku. Itulah rupanya kali terakhir rasa mengidam yang aku alami tanpa aku sedari aku sedang hamil.
Chicken pasta bake yang aku idamkan dan sempat aku jamah sewaktu meraikan ulangtahun kelahiran sahabat

Sepanjang weekends perut aku rasa tak sedap. Rasa kembung dan buang air besar pun tak lawas. Bila aku minum air jamu, barulah rasa lega sikit.

Pada 25 April, aku masih lagi rasa sakit di bahagian perut. Tetapi seolah-olah aku dah biasa dengan kesakitan itu sehinggalah aku ke toilet untuk buang air kecil, aku dapati ada blood discharged. Aku pelik, takkan aku period lagi? Kali kedua aku ke toilet, masih ada blood discharged. Aku balik tengahari itu. Suamiku yang sedang tidur aku kejutkan untuk ke hospital. Segera dia mandi dan solat zuhur lalu kami ke hospital, terus ke bahagian kecemasan.
Aku sempat mengambil gambar blood discharged ini dan hantarkan ke suamiku.

Mengapa hati aku terhiris mengenangkan semua kenangan ini? Kerana kenangan-kenangan ini sebenarnya tersirat semua symptoms yang menunjukkan aku hamil namun aku tidak sedar. Aku abaikan diriku sehingga aku keguguran dan aku dibedah akibat kehamilan luar rahim. Aku sepatutnya lebih peka akan keadaan diri.

Yang paling aku kesali, mengapa aku tidak menjalani upt apabila aku lewat 5 hari?

Pengalaman pertama kali dibedah - #Ectopic1

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليكم

Dah seminggu berlalu... Tepat jam 6pm, 25 April 2016 yang lalu, aku ditolak ke OT untuk pembedahan kandungan luar rahim (ectopic pregnancy) atau nama lainnya tubal pregnancy.
Tanganku dimasukkan jarum untuk water dripping sebelum pembedahan

Sebelum dibedah, doktor bius menerangkan bahawa aku akan ditidurkan dan dibius seluruh badan kerana pembedahan ini agak serius apabila melibatkan bahagian perut. Aku relakan sahaja. Sebetulnya ketika itu aku masih keliru dan terkejut dengan apa yang sedang berlaku. Doktor mengenakan topeng penafasan dan menyuruh aku bernafas dengan tenang dan akhirnya aku tertidur tanpa sedar.

Sekitar jam 9, aku terjaga dan mendengar namaku dipanggil. "Puan Norina, Puan Ok?". "Doktor, saya mengantuklah", jawap aku. Aku masih mamai dan menahan katuk sehingga aku lihat di dinding tepat di hadapanku beranjak ke jam 9.15pm. Selepas itu, aku ditolak menuju ke Ward 10 Hospital Kulim.

Aku masih lagi mamai tapi aku sedar kehadiran suami yang aku cintai ada bersamaku. Dia menyuruh aku berehat dan memberitahu bahawa dia harus beredar seketika nanti kerana dia tak boleh menemaniku di ward kelas 3 itu. Aku merelakan dia pergi dan segera melelapkan mata.

Jam 1.30am aku terjaga untuk buang air kencing. Aku cuba untuk bangun dibantu oleh nurse. Tapi dihalang oleh staff nurse kerana aku belum melepasi 6 jam selepas pembedahan. Dibimbangi aku pitam di dalam toilet nanti. Aku sendiri sebenarnya kesakitan untuk bangun dari katil. Jadi, nurse memberikan (ahh aku tak tahu namanya..urine pail ke?) bekas yang diletakkan di bawah punggungku untuk aku buang air di atas katil. Segan dan rasa menyusahkan mereka. Tapi mereka tidak merungut dan menjalankan amanah melayani pesakit dengan hati terbuka.
Bekas blood drainage ini menghalang pergerakan aku.

Aku kemudiannya berehat dan terjaga sekitar jam 5am. Sunyi, lalu aku tidur semula sehingga suamiku datang pada jam 7am. Dia datang membawakan keperluan yang mungkin aku perlukan semasa di dalam ward. Diperjelaskan satu per satu apa yang dibawanya. Setianya dia menjagaku. Dipesannya supaya banyakkan berehat dan jangan difikirkan hal yang sudah berlaku.

Sejujurnya aku masih bingung dan keliru. Apa yang berlaku kepadaku begitu tiba-tiba. Aku tak tahu apa yang aku rasakan. Aku diberitahu bahawa aku akan dibedah kerana mengandung di luar rahim sedangkan aku tidak tahu diriku hamil. Aku merelakan sahaja tanpa berfikir.

Mak dan Abah

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليكم

Korang masih ada ibu dan ayah?
Alhamdulillah kita sama, masih punya ibu dan ayah
Pada yang dah kehilangan salah satu atau keduanya, jangan tinggal doa untuk mereka

Mak adalah panggilan Norin untuk ibu tercinta
Abah pula adalah panggilan untuk ayah yang dikasihi

Abah dah mencecah umur 57 tahun, manakala Mak ialah 55 tahun
Just recent, kami sambut ulangtahun kelahiran Mak
Abah pulak pada bulan Januari yang lepas

Memang Mak selalunya lebih dihargai, tapi Abah juga sentiasa dalam hati
Walaupun anak-anak kurang meraikan Abah, tak bermakna Abah dilupakan
Menjadi seorang lelaki, pastinya mereka faham bahawa ibu adalah ratu hati
Malah sebagai anak lelaki, mereka juga pasti melebihkan ibu
Itulah pengorbanan insan bernama ayah

Mak selalu kata, Norin adalah kelemahan Abah
Jadi diorang ni selalu jadikan Norin senjata untuk tundukkan Abah
Hehehe..tapi Norin hanya take is as compliment, dan tidak ambil kesempatan
Norin sayangkan Abah, cintakan Abah dunia akhirat kerana Allah
Kalau seluruh dunia memusuhi Abah, Norin adalah yang akan berada di belakangnya
Walau buruk mahupun baiknya Abah, hubungan darah tak akan terputus
Jarang-jarang telefon Abah, tapi rajin jugak Whatsapp tanya khabar

Mak, walau macam manapun tetap ibu Norin dunia akhirat
Walaupun kadang-kadang bosan dengar bebelannya
Selalu tak sabar dengan ceritanya yang panjang elaboration dan berulang
Tapi tak pernah give up telefon Mak biarpun bil melambung
Sayang dan cinta pada Mak sampai akhirat

Maaf Saya Tipu

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
 السلام عليكم

Norin kata nak rajin blogging, tapi alahai...lepas 2 bulan menyepi baru muncul balik. Tipu betul!!

Rupanya tersilap beli router.. Router yang Norin beli mula-mula hari tu ialah wireless router. Wireless router tu sesuai kalau rumah kita ada UniFi. Sepatutnya Norin beli modem router. Laa kita manalah tau! Main beli je.. Dah tu kenalah tunggu budget pulak nak beli yang lain..hehehe

Alhamdulillah, sekarang dah boleh blogging di rumah. InsyaAllah kali ni ada banyak peluang untuk kembali aktif.

up